Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan



Tajuk : Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan
Penulis : Norhalim Haji Ibrahim
Penerbit : Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Tebal : 313
Pengulas : Idros Samsudin

Perkahwinan merupakan amalan yang sangat-sangat dituntut oleh agama. Terdapat du aspek utama dalam sesuatu majlis perkahwinan, iaitu keagamaan dan kebudayaan. Pelaksanaan aspek keagamaan hampir sama dalam kalangan masyarakat yang menganut kepercayaan yang sama. Manakala aspek kebudayaan pula merupakan bahagian yang merealisasikan adat istiadat masyarakat yang melaksanakannya.

Buku ini membincangkan perkahwinan adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan. Perlu diketahui bahawa istiadat perkahwinan yang dijalankan oleh pengamal adat perpatih jelas berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Setiap peraturan dan adat istiadat perkahwinan dalam adat perpatih menampakkan peribadi masyarakatnya. Dalam masyarakat yang mengamalkan masyarakat yang mengamalkan sistem bersuku ini terdapat nilai muafakat dalam melakukan sesuatu perkara. Perkara ini merupakan sendi utama dalam membuat sesuatu keputusan, merangkumi penentuan tarikh perkahwinan dan pembahagian tugas.

Tegasnya, adat perpatih adalah sangat fleksibel dalam aspek tertentu, terutama yang berkaitan dengan kemanusiaan. Dalam upacara perkahwinan, sanak-saudara pengantin, sama ada jauh atau dekat akan menghulurkan bantuan berupa kebendaan mahupun tenaga. Di samping itu, konsep bermuafakat dan kebulatan ini juga telah mewujudkan nilai dan sifat kerjasama, gotong-royong, tolong-menolong dan bantu-membantu antara pengamal adat perpatih.

Konsep muafakat dan kebulatan telah dijadikan peraturan harian yangharus dilakukan dan dipatuhi anggota masyarakat ini. Setiap anggota bertanggungjawab atas kejayaan keseluruhan majlis atau apa jua upacara lain yang dijalankan. Kejayaan sesuatu majlis, bukannya kejayaan individu atau sekumpulan orang tertentu tetapi adalah kejayaan keseluruhan kelompok kekeluargaan. Fenomena tersebut jelas tergambar dalam upacara perkahwinan di Negeri Sembilan.

Bimbingan Mencapai Kesempurnaan Ibadah Puasa



Tajuk Buku : Bimbingan Mencapai Kesempurnaan Ibadah Puasa
Penulis : Drs. Abdul Ghani Azmi
Penerbit : Al-Hidayah Publishers
Tebal : 272 mukasurat
ISBN : 983-9188-83-6

Anda sempat berpuasa enam dalam bulan Syawal setelah genap berpuasa dalam bulan Ramadhan? Kalau sudah, alhamdulillah, semoga ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t. Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal, jangan risau sebab kita masih boleh meneruskan ibadah puasa dengan berpuasa sunat mengikut sunnah Rasulullah s.a.w iaitu berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis atau pun berpuasa menurut sunnah Nabi Daud a.s iaitu berpuasa selang sehari.

”Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Daud dan solat yang lebih disukai oleh Allah ialah solat Daud, ia tidur seperdua malam, bangun sepertiganya, lalu tidur seperempatnya dan ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari.”(Riwayat Bikhari, Muslim, Ahmad dan Nasa’i)
Buku ini sangat baik untuk dijadikan panduan ibadah puasa kerana bagi saya ia cukup lengkap. Dalam bab satu yang bertajuk Peranan dan Keutamaan Puasa Dalam Pembinaan Iman dan Islam diterangkan dengan panjang lebar mengenai kelebihan berpuasa dari sudut rohani dan jasmani. Kelebihan-kelebihan yang dinyatakan disertai dengan dalil al-Qur’an atau hadis.

Dalam bab-bab berikutnya adalah penerangan terperinci mengenai puasa yang dilarang, puasa wajib, puasa kifarat, puasa qadha dan puasa sunat.

Dalil-dalil yang dinyatakan dalam buku ini jelas dan boleh dipercayai serta boleh dikuti tanpa sebarang keraguan. Terdapat beberapa perkara yang saya ragui sebelum ini, saya temui jawapannya dalam buku ini. Antara perkara yang saya ragui ada jawapannya di dalam dalil berikut:

Aisyah r.a. berkata ”Adakalanya Rasulullah s.a.w. mengucup sebahagian isterinya sedangkan beliau berpuasa, lalu Aisyah ketawa.” (Hadith Muttafaq ’Alaih)
Ummu Salamah r.a. berkata ”Adalah Rasulullah s.a.w kedatangan subuh dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh bukan kerana bermimpi, kemudian beliau tidak berbuka puasa dan tidak pula mengqadhanya.” (Hadith takhrij al-Bukhari dan Muslim)
Marilah sama-sama kita perbaiki diri dan mencari ilmu untuk tujuan kesempurnaan ibadah.

The Economics of Global Turbulence



Tajuk Buku : The Economics of Global Turbulence:The Advanced Capitalist Economies from Long Boom to Long Downturn, 1945-2005
Penulis : Robert Brenner
Pengulas : Zulkifli Salleh

Sejak kemenangan Reaganisme-Thatcherisme pada tahun 1980-an, modal kian memperkukuh penguasaannya, khususnya di Amerika Syarikat. Kadar pertumbuhan upah ditekan secara berkesan. Aliran global modal menjelajah dunia mencari kawasan yang paling menguntungkan. Program penstabilan yang kejam daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) diterima sebagai benar.

Pada akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an, pemerintah rejim di bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur telah runtuh, dan China mengambil jalan kapitalis. Berakhirnya Perang Dingin menandakan kemenangan kapitalisme, disifatkan oleh Joseph E. Stiglitz sebagai membuka peluang baharu dan meruntuhkan kekangan lama.

Namun demikian, seperti yang ditegaskan oleh Robert Brenner dalam The Economics of Global Turbulence:The Advanced Capitalist Economies from Long Boom to Long Downturn, 1945-2005, perjalanannya tidak licin bagi ekonomi kapitalis dunia. Masih wujud kolerasi yang kukuh antara takat modal menentukannya arahnya dengan takat prestasi kitaran demi kitaran sejak tahun 1960-an.

Pada tahun 1960-an ketika gerakan buruh terlampau kuat, Negara kebajikan mengembung dan peraturan kerajaan yang terlampau berada pada kemuncak yang terlampau berada pada kemuncak pengaruh, maka deburan (boom) mencapai puncak dalam sejarah. Sejak itu, kerana “ubat” neoklasik digunakan dengan banyak, maka ekonomi mengalami prestasi kurang baik. Tahun 1970-an lebih teruk daripada tahun 1960-an, tahun 1980-an lebih teruk daripada tahun 1970-an dan tahun 1990-an lebih teruk daripada tahun 1980-an.

Untuk sekian lama, ahli teori sebelah penawaran (supply-side) menentukan punca genangan secular dalam krisis produktiviti yang menurut mereka berpunca daripada kaum pekerja yang malas dan suka menentang. Namun begitu, apabila kemerosotan ini berterusan hingga tahun 1990-an dan sedikit tanda untuk meningkat, ahli ekonomi ortodoks ini terpaksa mengakui bahawa dengan kuasa buruh yang sangat lemah sejak dua dekad lalu, sedangkan ekonomi lebih ketara adalah semata-mata kerana potensi teknologinya telah habis.

Mengurus Perubahan Dalam Organisasi


Tajuk Buku : Mengurus Perubahan Dalam Organisasi
Penulis : Abd Aziz Yusof
Penerbit : Arah Publications Sdn. Bhd.
Pengulas : Mohd. Aidil Riduan Awang

Buku ini memberikan jalan keluar kepada permasalahan menangani perubahan di dalam organisasi iaitu dengan cara menguruskan manusia terlebih dahulu sebelum perubahan lain dilakukan. Menangani emosi dan pendekatan untukmengambil hati pekerja harus diutamakan terlebih dahulu demi menjayakan perubahan yang diinginkan oleh pemimpin atau pengurus sesebuah syarikat.

Jalan keluar ini disarankan kerana masalah mengurus perubahan bukanlah cerita baharu di dalam sesebuah organisasi tetapi acap kali dibicarakan di kalangan tokoh pengurusan dan kepimpinan dunia. Banyak organisasi gagal menguruskan perubahan dalam organisasi masing-masing kerana tidak memahami dimensi perubahan yang hendak dilakukan.

Dalam hal ini, Stephen R. Covey pernah menjelaskan bahawa terdapat empat dimensi semula jadi manusia iaitu dimensi fizikal, rohani, mental dan sosio-emosi. Keempat-empat dimensi ini perlu dibangunkan pada setiap masa.

Oleh itu, organisasi perlu memastikan sumber tenaga manusia yang berada di dalam organisasi agar tidak mengalami kepincangan akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang kesan daripada perubahan yang dilakukan.

Menyedari betapa signifikannya dimensi kemanusiaan dalam melaksanakan perubahan organisasi, hal ini menarik minat ahli akademik dan pengamal terutama kepimpinan organisasi untuk mengkaji aspek ini dengan lebih mendalam.

Oleh sebab itu, kepimpinan organisasi yang merupakan faktro utama dalam menjana perubahan turut memberikan keprihatinan yang tinggi kerana perubahan yang dilakukan oleh mereka sering menemukan kegagalan.

The Air Asia Story



Tajuk Buku : The Air Asia Story
Penulis : Sen Ze dan Jayne Ng
Pengulas : Jaafar Abdul Rahim

Buku ini menceritakan kisah penubuhan Air Asia oleh Tony Fernandez yang beralih bidang daripada bidang muzik ke bidang penerbangan. Tony Fernandez yang memegang jawatan Naib Presiden Times Warner Music South East Asia mengambil keputusan nekad menjual saham-saham beliau dengan harga AS$70.00 setiap satu semata-mata membeli Air Asia daripada DRB-Hicom pada 08 Disember 2008 dengan harga RM1.00 bersama dua pesawat Boeing 737-700, jaringan perjalanan yang kecil dengan hutang hampir RM40 juta. Beliau juga terpaksa menyewakan rumahnya untuk membiayai pengambilan Air Asia.

Walau pun ramai yang mengatakan beliau gila tetapi beliau mengambil kata-kata tersebut sebagai cabaran untuk beliau berusaha gigih bagi membuktikan usaha beliau berhasil. Pada ketika itu, beliau yakin bahawa penggunaan kapal terbang oleh rakyat Malaysia akan meningkat melebihi 6%.

Usaha Tony menampakkan hasil apabila Air Asia dilancarkan semula pada Januari 2002 dengan hanya 3 buah pesawat dan dengan kos hanya separuh daripada pesaingnya Malaysia Airlines. Tambang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya RM39.00, lebih murah daripada harga tiket bas iaitu RM40.00. Semestinya orang akan memilih untuk naik kapal terbang!

Selepas tujuh bulan beroperasi, Air Asia mengumumkan berita gembira dalam bulan Disember 2002 apabila memperolehi hasil RM113 juta dengan keuntungan RM19.4 juta dan bilangan penumpang adalah sebanyak 1.1 juta orang.

Hal ini menunjukkan bahawa Air Asia mempunyai formula kejayaan yang berkembang pesat sejak hari pertama operasinya dengan tambang promosi RM1.00. Datuk Tony menyifatkan kejayaan syarikat penerbangan beliau didorong oleh produktiviti kakitangannya dan etika kerja yang diamalkan.

Kejayaan berikut Air Asia adalah dengan termeterainya usaha sama dengan Shin Corporation bagi mewujudkan Thai Air Asia, subsidiarinya yang pertama pada tahun 2003. Thai Air Asia terbang ke Bangkok dari Kuala Lumpur dengan penerbangan sulungnya pada tahun yang sama.

Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan Eksklusif Untuk Avon



Tajuk Buku : Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan Eksklusif Untuk Avon
Penulis : Redzuawan Ismail @ Chef Wan
Penerbit : Marshall Cavendish Cuisine
Tebal : 88 mukasurat
ISBN : 978-967-3035-06-9

Rasanya demam Syawal masih lagi terasa. Saya bawakan kali ini buku resepi yang saya beli daripada seorang rakan ejen jualan Avon beberapa hari sebelum hari raya. Walau pun tak sempat mencuba resepi biskut yang ada di dalam buku ini tetapi saya tertarik untuk mencuba resepi masakan yang disajikan terutama sekali resepi Laksa Johor yang memang saya cari-cari resepinya.

Pada masa komentar ini ditulis, saya belum lagi berkesempatan mencuba resepi ini kerana saya bercadang untuk mencubanya pada hujung minggu ini. Apa yang saya ingin kongsikan dengan anda semua adalah keistimewaan buku ini yang mengandungi resepi pelbagai biskut, muffin, kek, juadah Ramadhan dan juga 3 resepi minuman mengembalikan tenaga setelah letih berpuasa.

Di antara resepi yang agak menarik adalah Ketam Masala, Tajine Ayam Aicha,Laksa Johor Cik Zah Jais, Pasta Goreng Aneka Rasa, Kaserol Kuetiau Dengan Ikan Tuna, Kerabu Daging Salai Bersama Mangga, Sup Harira Magribi dan Nasi Ulam DiRaja. Menarik kan?

Turut menarik perhatian saya adalah segmen Tip-tip Chef Wan pada helaian terakhir buku resepi ini yang pada saya amat berguna untuk semua.


Igauan Maut



Tajuk Buku : Igauan Maut
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Tebal : 164 mukasurat
ISBN : 983-62-4564-2
Anugerah : Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Dewasa 1992 Anjuran DBP Cawangan Sabah

Ulasan :

Igauan Maut merupakan karya pertama Ramlee Awang Murshid dan merupakan novel beliau yang kedua saya baca selepas novel Aku Darah Anak Malaysia (ADAM). Saya telah membeli buku ini 3 tahun lepas melalui tempahan secara online di Dawama. Pada masa ulasan ini ditulis, novel ini sudah kehabisan stok walhal ramai peminat Ramlee Awang Murshid di luar sana mencari novel ini dan ingin membelinya untuk koleksi peribadi.

Secara peribadi, saya amat berharap agar pihak Alaf21 Sdn. Bhd. dapat mengambil alih penerbitan buku ini untuk memenuhi permintaan yang ada. Saya percaya ramai di antara pembaca yang ingin memiliki novel ini setelah membaca karya Ramlee yang terbaharu iaitu Hijab Sang Pencinta lebih-lebih lagi buku ini berjaya mengungguli carta buku popular MPH dan Popular di dalam kategori cereka.

Igauan Maut merupakan sebuah kisah mendebarkan yang mengisahkan dendam seorang anak terhadap beberapa orang kampung yang bertanggungjawab ke atas kematian kedua ibu bapanya 25 tahun lalu. Penulis berjaya membuatkan pembaca berteka-teki - siapakah dalang di sebalik semua kejadian berbau dendam ini. Melalui pembacaan Iguaan Maut, saya dapat membaca kecenderungan penulisan Ramlee yang menjurus kepada genre ’thriller’ dan suspen. Untuk mengendurkan emosi pembaca, penulis menyelitkan kisah bibit-bibit cinta di antara dua watak utama novel ini. Saya rasa sedikit terkilan kerana penulis tidak mendedahkan ibu bapa sebenar Mizah. Saya kira penulis mempunyai alasan yang tersendiri untuk persoalan tersebut.

Novel ini sesuai dibaca oleh semua golongan terutama mereka yang ingin mengetahui gaya penulisan awal Ramlee Awang Murshid.



Crash Course On Losing Weight - 21 Practical Ways To Look And Feel Better



Tajuk Buku : Crash Course On Losing Weight – 21 Practical Ways To Look And Feel Better
Penulis : Max and Alanna Davis
Juruedit : Larry J. Koenig, PHD
Penerbit : J Countryman A Division of Thomas Nelson Publishers
Bilangan Mukasurat : 175
ISBN : 1-4041-8654-9

Ulasan :

Saya membaca semula buku ini setelah merasakan berat badan saya bertambah setelah berhari raya. Maklumlah berkunjung ke rumah keluarga dan rakan-rakan tidak terlepas daripada menjamah makanan seperti ayam, daging, kek dan biskut raya yang sememangnya mempunyai kalori yang tinggi. Memang tidak dinafikan ada juga rakan-rakan yang mengalami ceret-beret atau pun demam panas setelah 2/3 hari beraya. Mungkin kejutan pada perubahan pemakanan dan faktor perubahan cuaca.

Saya membeli buku ini dalam 2 tahun lepas di KLIA sementara menunggu masa penerbangan balik ke KK. Saya seorang yang berbadan gempal dengan rangka badan yang besar sehingga saya merasakan saya kelihatan hodoh. Saya beberapa kali cuba untuk mengurangkan berat badan namun setiap kali berjaya mengurangkannya akan naik semula setelah ‘lari’ daripada rutin pemakanan yang sepatutnya. Oleh sebab itu, untuk memotivasikan diri saya semula, saya akan membaca buku ini sebagai dorongan untuk saya mendisiplinkan diri di dalam mengambil hidangan makanan harian.

Buku ini ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang mudah dan senang difahami oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Pengolahan buku ini juga begitu menarik sebab pada setiap bab dinyatakan dengan jelas tip-tip yang berguna menggunakan nombor sehinggalah lengkap 21 tip bagi membantu kita mengurangkan berat badan. Pada setiap akhir bab pula dinyatakan ‘Your To Do List’ sebagai panduan langkah demi langkah program kesihatan yang perlu diikuti. Sebagai pendorong, penulis turut memuatkan cerita sebenar yang dilalui sendiri oleh mereka yang pernah mengikuti panduan kesihatan di dalam buku ini.

Bedar Sukma Bisu



Tajuk Buku : Bedar Sukma Bisu
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 312
ISBN : 978-983-62-9652-8
Anugerah : Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP


Ulasan :

Sememangnya wajar novel ini memenangi Anugerah Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Ini merupakan karya Faisal Tehrani yang pertama saya baca. Perkataan bedar biasanya digunakan di negeri Terengganu / Pantai Timur Semenanjung adalah merujuk kepada perahu besar sebagaimana gambar pada kulit novel ini.

Membaca novel ini seperti saya membaca karya-karya sasterawan-sasterawan negara tersohor seperti A. Samad Said dan Arena Wati. Sebagaimana karya-karya mereka, Faisal Tehrani juga membawakan mesej perjuangan di dalam penulisan beliau. Bedar Sukma Bisu adalah kisah perjuangan sebuah perniagaan milik bumiputera Islam di Semenanjung Emas. Perniagaan ini dimiliki turun-temurun setelah mengalami kejatuhan yang teruk pada zaman perang dunia kedua tetapi berkat kegigihan pelopornya, perniagaan Bedar Sukma Bisu di dalam arena perkapalan bangkit semula dan berjaya mencipta nama sekaligus membantu menjana ekonomi negara termasuk sektor pelancongan. Bedar Sukma Bisu juga sekali lagi menghadapi saat getir pada tahun-tahun ekonomi meleset sekitar 90-an, namun berjaya bangkit semula dengan strategi perniagaan yang lain iaitu lebih menjurus kepada sektor pelancongan di dalam negeri dan mengetengahkan pelayaran sebagai pakej untuk perniagaan dan juga keluarga.