Judul : Fiksyen 302
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
ISBN : 978-83-124-746-4
Tebal : 501 mukasurat
Bertemakan psikologi thriller, Fiksyen 302 cukup mengujakan untuk dibaca. Bermula daripada prolog, Fiksyen 302 memberikan seribu satu teka-teki yang memaksa kita untuk membaca helaian-helaian seterusnya.
Fiksyen 302 mengisahkan sebuah plot balas dendam oleh tunang kepada Zarina Mustapha yang telah mati dibunuh dengan kejam. Mayat Zarina ditemui dengan keadaan muka yang teruk dan sukar untuk dikenali. Suspek utama pembunuhan, Datuk Mahali dan Sabri dilepaskan oleh mahkamah atas keputusan tidak bersalah sekaligus melepaskan mereka daripada hukuman mati mandatori di bawah kanun keseksaan 302.
Seorang demi seorang yang terlibat dalam kes pembunuhan Zarina dibunuh dengan tragis oleh Lan Lani, Jimmy Yeoh, Prakash Kumar dan Farid Ja'ah yang kesemuanya adalah pesakit mental yang telah dibebaskan daripada Hospital Permai Johor Bahru yang telah disahkan pulih sepenuhnya oleh Dr. Rozlina. Pembunuh-pembunuh ini melakukan pembunuhan ke atas pelaku-pelaku jenayah, melakar "302" pada dahi mangsa dan kemudiannya menelefon polis untuk membuat laporan serta berbogel semasa diberkas oleh pihak polis. Mereka mengaku tidak bersalah dan mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh Zonan, roh jahat yang tidak berwajah. Zonan boleh muncul di mana-mana dan boleh datang sesuka hati serta sangat kejam. Sekiranya mereka tidak melakukan pembunuhan tersebut atas perintah Zonan, mereka sendiri akan menjadi mangsa pembunuhan kejam Zonan.
Tambah saspens lagi bila peguam bela Lan Lani iaitu Noorhafiza Izura mendakwa diganggu oleh Zonan yang bertopeng putih tanpa mulut dan hidung, hanya kelihatan mata sahaja di parkir kereta dan di rumah beliau sendiri. Pembunuhan kejam Nurul, pembantu Noorhafiza yang bekerja di firma guaman Sainoh & Co. tambah mencelarukan keadaan kerana Nurul tidak terlibat dengan kes pembunuhan Zarina. Pihak polis agak sukar mengaitkan kes pembunuhan Nurul dengan kes pembunuhan mangsa-mangsa lain.

